Jumat, 17 April 2020

Misteri Batu Nisan Bernyawa Semakin Tinggi di Kuala Lipis |

Mantan KA UPTD
 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari minggu dah sampai. Setelah penat bekerja selama 5 hari, tibalah hari minggu untuk kita berehat. Ada berita beberapa hari lepas tentang misteri batu nisan di Kuala Lipis yang semakin meninggi atau semakin panjang dari tahun ke tahun. Betulkah apa yang diberitahu oleh penduduk kampung itu? Logikkah bagi batu nisan semakin tinggi? Setelah aku baca berita misteri batu nisan ni, aku terus terfikir, mungkin ada akar kayu pokok di bawah tu kot. Korang tau kan panjang akar kayu ialah sama panjang dengan hujung pucuk pokok tersebut. Kira bersimetri la atas dan bawah pokok. Sebelum ramai penduduk di situ terjebak dengan kegoyangan akidah akibat percaya kepada tahyul dan khurafat, aku menggesa kepada ahli pakar kaji tanah dari JKR ke universiti ke untuk mengkaji perihal misteri batu nisan yang semakin meninggi ni. Tak susah mana pun aku rasa. Cuma tengok apa ada kat bawah tu. Susah ke? Berita perincian tentang perkara luar biasa batu nisan yang samakin meninggi ni ada di bawah.
 P/S: Sepatutnya penduduk kampung akan selalu beringat tentang mati apabila melihat kubur, bukan kagum dengan misteri atau perkara luar biasa yang terjadi. Semua dari kita akan mati, tiada siapa boleh terlepas dari kematian. Ingatlah, perjalanan menuju kematian bermula sejak kita dilahirkan.
 
 Ada berita beberapa hari lepas tentang misteri batu nisan di Kuala Lipis yang semakin men Misteri Batu Nisan Bernyawa Semakin Tinggi di Kuala Lipis |
Ahmad Nazri menunjukkan batu nisan yang semakin tinggi.
KUALA LIPIS: Misteri batu nisan sebuah kubur dipercayai berusia lebih 300 tahun yang seakan ‘bernyawa’ apabila semakin tinggi hingga mencecah hampir satu meter menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk Kampung Dusun di sini.
Kubur lama itu menempatkan cucu kepada seorang mualaf yang juga kapitan Cina dikenali sebagai Loo Soon yang membuka kampung berkenaan dan lelaki itu datang ke Kampung Dusun untuk mencari emas.
Loo Soon atau nama Islamnya, Bedu Ahmad atau Tok Dusun kemudian berkahwin dengan wanita tempatan dan memperoleh empat anak. Seorang daripadanya dipanggil Tok Muda.
Penduduk kampung terbabit mendakwa, kubur mempunyai batu nisan bernyawa itu milik Karim Muda iaitu cucu kepada Tok Dusun yang juga individu bertanggungjawab membuka perkampungan berkenaan.
Bekas Penghulu Kampung Dusun, Ahmad Nazri Abdul Rani, 73, berkata, keanehan batu nisan berkenaan membuatkan penduduk kampung tertanya-tanya apakah fenomena sebenar di sebalik kejadian itu.
Katanya, batu sungai yang dijadikan nisan itu pada mulanya tidaklah setinggi dilihat kini dan perkara itu amat menghairankan penduduk.
“Kami percaya batu nisan itu hidup kerana di sini ada lagi beberapa kubur dipercayai daripada keturunan Tok Dusun yang diletakkan batu jenis sama untuk dijadikan nisan tetapi tidak pula meninggi.
“Sehingga kini, penduduk kampung berusaha mengesan identiti sebenar kubur lain yang dipercayai daripada keluarga Tok Dusun untuk mencari salasilah individu dikatakan bertanggungjawab membuka kampung yang turut dinamakan sempena namanya itu,” katanya ketika ditemui.
Sambil menunjukkan ketinggian sebenar batu nisan itu, Ahmad Nazri yang juga ‘orang lama’ di kampung berkenaan berkata, dia percaya kejadian pelik itu bukti hikmah dan kekuasaan Allah.
“Kita janganlah memikirkan yang bukan-bukan kerana apa yang berlaku adalah ketentuan-Nya.
“Sebagai hambaNya, kita mesti percaya pada apa yang berlaku dan jangan sekali-kali melakukan perbuatan menyalahi agama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Dusun, Ibrahim Aziz, 58, berkata, disebabkan keganjilan yang berlaku itu, penduduk kampung kini berusaha menjaga kawasan tanah perkuburan berkenaan kerana khuatir kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab berbuat syirik di kubur itu.
Katanya, mereka tidak mahu sesuatu perkara khurafat yang menyalahi agama dilakukan di kawasan tanah perkuburan berkenaan apatah lagi di ‘kubur bernyawa’ itu.
“Kita sedia maklum benda pelik begini mudah dijadikan pihak cetek agama sebagai tempat melakukan perkara syirik seperti pemujaan nombor ekor dan sebagainya.
“Justeru penduduk kampung berusaha menjaganya supaya bebas daripada gangguan pihak tidak bertanggungjawab itu,” katanya.
Ibrahim berkata, sehingga kini penduduk kampung masih tidak melihat sesuatu kejadian pelik berlaku di sekitar kubur berkenaan.
“Jika boleh, saya minta pihak berkenaan datang menjalankan kajian di sini untuk mengenal pasti identiti sebenar beberapa lagi kubur lain,” katanya.

Sumber:  Melayukini