Sabtu, 18 April 2020

Lagi Hantu Jepun.

 
Sekitar tahun 1998 - Hantu Jepun.

Ketika itu saya masih belajar di sekolah tersebut pada darjah 4. Saya tiba seawal 5.30 pagi ke sekolah, kerana jarak rumah saya dengan sekolah begitu jauh sekali. Saya terpaksa menaiki bas seawal pagi ke sana. Sekolah tersebut merupakan bekas sekolah melayu yang amat tua dan pernah dijadikan markas pemerintahan tentera jepun di negeri Perak suatu ketika dahulu.

Di sekolah tersebut pada waktu itu hanya ada saya dan kakak saya sahaja. Tetapi blok kelas darjah 4 dan blok kelas darjah 5 begitu terasing jauh. Blok kelas darjah 4 ketika itu terletak di hujung kaki bukit, manakala blok kelas kakak saya, iaitu blok darjah 5, terletak di atas bukit. Blok darjah 6 pula terletak di hujung kaki bukit lagi satu.

Ketika saya sedang mengemas kelas saya tiba-tiba saya terdengar bunyi derapan langkah seperti tentera berkawat. Semakin lama semakin dekat bunyi itu datang dan akhirnya ianya seperti berhenti di kawasan lapang sebelah kelas saya. Tetapi anehnya tiada langsung bayang orang berkawat.

Cerita-cerita berkenaan bunyi tentera Jepun berkawat pada malam hari memang sudah tersebar ke seluruh sekolah dan saya tidak menyangka yang saya sendiri alaminya. Ada juga beberapa guru dan pelajar dapat melihat kelibat tentera Jepun berkawat ketika program-program bermalam di sekolah. Bagi saya itulah pengalaman pertama saya dengan perkara aneh dan mistik sepanjang hidup saya.

Juga cerita mengenai tentera Jepun. Pada pagi itu, saya tiba awal seperti biasa bersama seorang lagi pelajar perempuan darjah 4 juga daripada Tasek. Ketika itu saya belajar pada darjah 6 di sekolah itu lagi. Saya hanya mengikuti langkah pelajar tersebut dari belakang.

Saya ternampak pelajar tersebut menghentikan langkah dan lantas bertanya kepada saya, “abang ada dengar orang kawat x?” Saya teliti bunyi sekiling tetapi saya tidak mendengar apa-apa. Kami pun segera bergegas ke kelas masing-masing.

Ketika menuruni bukit untuk ke kelas, berhampiran dengan tokong lama, saya terlihat seseorang yang kelihatan terhuyung hayang, menyeret sesuatu di atas tanah. Semakin lama ia datang semakin dekat dan apabila ia melintasi hadapan saya, jelas susuk tubuh tersebut berpakaian seperti tentera sambil tangannya memegang sesuatu pedang atau parang dan menyeret pedangnya ke tanah. Saya seolah-olah bingung ketika itu dan tidak terfikir apa-apa. Apabila sampai ke kelas, baru saya tertanya “benda apa yang aku lihat tadi? Mana ada tentera kat sini pagi”. Waktu dalam tu baru nak rasa terkejut, meremang satu badan dan menggigil keseorangan di dalam kelas.

Apa yang saya nampak itu adalah hanya jelmaan yang menyerupai hantu Jepun. Seorang tukang kebun di sekolah itu menyatakan memang sudah ramai telah diganggu jelmaan-jelmaan seperti itu.